Infrastruktur Kolej Kolej_Islam_Sultan_Alam_Shah

Dewan Besar/Dewan Al-Muttaqin wal Muthaqqafin

Merupakan tempat berlangsungnya acara rasmi seperti perhimpunan hari Isnin, majlis graduasi dan Majlis Anugerah Kecemerlangan (MAK). Terletak di hadapan blok D.

Dewan Terbuka/Centre of Excellence (CoE)

Dewan ini adalah di mana perhimpunan harian (selain daripada perhimpunan Isnin) dijalankan. Selain itu, dewan ini digunakan sebagai alternatif jika dewan besar tidak boleh digunakan. Ia terletak di belakang blok B berhadapan dewan kuliah.

Gimnasium

Gimnasium ini digunakan untuk latihan dalaman. Ia terletak berhampiran blok F. Dilengkapi dengan alat senaman dan peralatan sukan untuk kemudahan para pelajar. Gimnasium ini menjadi tempat latihan untuk pasukan gamelan sebelum dipindahkan ke Bilik Tayangan Utama (BTU) pada tahun 2015.

Dewan Peperiksaan Tingkatan Enam

Terletak di blok C, ia juga dipanggil dewan kecil. Ia digunakan untuk majlis berskala kecil.

Dewan Kuliah/Dewan Ulul Albab (DUA)

Dewan ini terletak di hadapan Center of Excellence (COE). Ia merupakan sumbangan Kerajaan Arab Saudi. Dewan ini dilengkapi dengan projektor, smartboard, papan putih, pendingin hawa dan kerusi bermeja. Kelas tambahan untuk pelajar KISAS sering diadakan di dewan ini.

Pejabat

Pejabat ini ialah satu-satunya bangunan Istana Jemaah yang masih kekal sehingga hari ini. Ia terletak di antara blok A, B dan C. Di sinilah terletaknya pejabat penolong kanan pentadbiran, penolong kanan Hal Ehwal Murid serta pengetua. Segala urusan rasmi pelawat luar dengan pihak KISAS perlulah dibuat di pejabat.

Pejabat Kolej Islam Sultan Alam Shah

Bilik Guru

Ia terletak di blok A, tingkat dua dan di blok C, tingkat satu. Di blok A, tingkat dua menempatkan bilik guru-guru tingkatan 6, bilik-bilik ketua bidang dan bilik-bilik guru cemerlang (GC) manakala di blok C, tingkat satu menempatkan bilik guru tingkatan 4 dan 5. Pada musim peperiksaan, pelajar-pelajar KISAS dilarang untuk memasuki bilik guru.

Kantin/Kafeteria

Terletak di belakang dewan kuliah. Kantin ini turut dibuka sebeum bermulanya kelas persediaan (prep) bagi pelajar-pelajar membeli makanan untuk mengalas perut.

Padang Belakang

Terletak di belakang Dewan Makan Puteri. Ia selalu digunakan untuk aktiviti riadah oleh pelajar lelaki. Padang ini turut dilengkapi dengan dua batang tiang gol ragbi. Perlawanan persahabatan ragbi untuk Saracen KISAS sering diadakan di padang ini.

Padang Hadapan

Padang ini digunakan oleh pelajar-pelajar kolej semasa latihan sukan seperti latihan ragbi, latihan kriket serta latihan bola baling.

Bilik Peperiksaan

Bilik ini ialah tempat bagi guru-guru menggubal soalan dan menyimpan soalan-soalan peperiksaan dalaman. Bilik ini juga dilengkapi dengan komputer dan mesin cetak untuk menyemak kertas berbentuk jawapan objektif beraneka (JOB).

Bilik Kokurikulum

Ia ialah tempat perancangan aktiviti kokurikulum serta nadi gerak kokurikulum kolej. Selain itu, bilik bagi penolong kanan Kokurikulum dan guru penyelaras kokurikulum ditempatkan di sini.

Bilik Kemahiran Al-Quran

Terletak di bangunan C. Bilik ini bersebelahan dengan surau guru perempuan. Bilik ini turut dilengkapi dengan rehal al-Quran. Program Kelas Kemahiran al-Quran sering dijalankan di dalam bilik ini.

Bilik Sakit

Pelajar-pelajar yang sakit akan menunggu di Bilik Sakit ini dan akan dihantar ke klinik-klinik ataupun hospital untuk mendapatkan rawatan. Beberapa buah katil turut disediakan bagi pelajar-pelajar sakit yang tidak mampu meneruskan pelajaran untuk hari tersebut. Rawatan pergigian setahun sekali turut dijalankan di Bilik Sakit ini.

Perpustakaan/PERKISAS

Terletak di bangunan blok B, PERKISAS ialah sumber pengetahuan yang penting serta boleh dicapai oleh semua pelajar kolej. Pada tahun 2015, sebuah transformasi bahan bacaan besar-besaran telah dilancarkan di Perkisas. Ribuan bahan bacaan baharu telah ditambah di Perkisas hasil sumbangan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia keenam dan Datuk Haji Mohamad Din Bin Yusoh. Berbelas-belas rak buku baharu juga telah disumbangkan oleh beliau. Perkisas turut dibuka pada waktu kelas persediaan (prep) untuk para pelajar mengulang kaji di dalamnya.

Bilik Tayangan Utama (BTU)

Terletak di sebelah PERKISAS, ia merupakan auditorium mini yang digunakan ketika mesyuarat, juga berfungsi sebagai bilik sambutan delegasi luar yang melawat ke KISAS. Bilik ini turut digunakan sebagai studio serta pusat latihan untuk pasukan Gema Gamelan Waqafan (GEMAWAN).

Bilik Alat Pandang Dengar (APD)

Bilik ini biasa digunakan untuk pembelajaran interaktif. Bilik ini dilengkapi dengan mesin OHP, projektor dan televisyen. Bilik ini juga sering digunakan ketika kelas tambahan wajib (KTW) dijalankan.

Makmal Bestari

Makmal Komputer ini terletak di blok pelajar tingkatan lima. Dilengkapi dengan set komputer dan capaian internet jalur lebar. Selain daripada musim peperiksaan, Makmal Bestari ini turut dibuka pada waktu kelas persediaan (prep) untuk para pelajar mencari maklumat berkenaan pelajaran di Internet. Pelajar lelaki dan pelajar perempuan bergilir-gilir mengikut jadual untuk menggunakan Makmal Bestari ini.

Dar Warasatul Anbiya'

Medan bagi para pelajar Kolej Islam untuk berpidato secara terbuka. Medan ini juga alternatif bagi dewan terbuka jika dewan terbuka tidak boleh digunakan. Dataran hadapan Dar Warasatul Anbiya' digunakan untuk aktiviti perhimpunan pelajar tingkatan enam pada hari selain hari Isnin. Namun begitu pada tahun 2015, perhimpunan harian selain hari Isnin untuk semua pelajar KISAS termasuk pelajar tingkatan enam telah diadakan di Centre of Excellence (COE) untuk menyelaraskan maklumat yang disampaikan semasa perhimpunan.

Koperasi

Nadi ekonomi pelajar kolej ini terletak di bangunan B. Terbahagi kepada dua bahagian iaitu Koop-Putera dan Koop-Puteri.

Galeri

Bangunan ini baru dibina bersebelahan dengan Dewan Ulul Albab atau lebih dikenali sebagai Dewan Kuliah. Galeri ini berada di tingkat dua dan dilengkapi tingkap lut sinar di sekelilingnya. Bilik ini menempatkan ratusan plak, piala dan sijil yang diterima oleh Kolej Islam dari generasi pertama sehinggalah hari ini.

Asrama

Asrama Putera

Asrama Putera terletak di seberang jalan, berhadapan kawasan kolej. Para pelajar lelaki menggunakan jejantas untuk ke sekolah dari asrama mereka. Ia empat buah blok banggunan iaitu blok A,B,C dan D. Blok A iaitu Blok Thariq yang berwarna hijau merupakan bangunan asrama yang paling lama, iaitu dibina sekitar tahun 60-an. Blok B bagi Rumah Ali (Kuning), dibina pada tahun 70-an manakala Blok C bagi Rumah Omar (Merah) dan Blok D bagi Rumah Khalid (Biru), dibina pada tahun 80-an. Di sebelah blok Khalid terletaknya Dewan Makan Putera. Memandangkan Kolej Islam Sultan Alam Shah merupakan sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP), kesemua pelajar wajib menetap di asrama. Susunan pelajar di asrama adalah mengikut rumah sukan yang telah ditetapkan pada hari pendaftaran pelajar.

Asrama Putera mempunyai empat aras dengan bilik-bilik pelajar bermula daripada aras kedua hingga aras keempat. Aras kedua selalunya diperuntukkan untuk pelajar-pelajar tingkatan enam, aras ketiga untuk pelajar-pelajar tingkatan lima dan aras keempat untuk pelajar tingkatan empat. Dua bilik terawal untuk setiap aras merupakan bilik Ketua Pelajar (KP). Empat orang pelajar diperuntukkan untuk setiap bilik manakala hanya dua orang pelajar untuk bilik Ketua Pelajar. Asrama Putera dilengkapi dengan kemudahan mesin basuh berbayar, arena futsal serta ampaian-ampaian. Bilik penyelia asrama terletak di aras pertama Blok Thariq. Aras pertama Blok Thariq turut dilengkapi dengan bilik kelas persediaan (prep) serta bilik komputer.

Asrama Puteri

Berbeza dengan asrama Putera yang terletak di seberang jalan sekolah dan hanya boleh dicapai dengan jejantas, asrama Puteri terletak di dalam kawasan sekolah bersebelahan dengan kantin dan Sekolah Menengah Jenis Persendirian Cina Chung Hwa. Asrama Puteri mempunyai dua buah blok asrama setinggi empat tingkat, padang hoki dan padang bola jaring. Di dalamnya juga terdapat dewan makan Puteri dan empat buah kuarters guru. Di sebelah belakangnya, terdapat kediaman rasmi pengetua Kolej Islam. Susunan asrama untuk pelajar perempuan juga mengikut rumah sukan yang ditetapkan semasa hari pendaftaran. Berbeza dengan Asrama Putera yang menggunakan sistem bilik, Asrama Puteri menggunakan sistem dormitori. Pelajar perempuan disusun mengikut rumah sukan di dalam satu dormitori. Asrama Puteri boleh dicapai menggunakan tiga buah pagar iaitu bersebelahan rumah pengetua, hadapan kantin kolej serta bersebelahan Musolla Saidatina Khadijah. Pada hari Jumaat, pagar berhampiran Musolla Saidtaina Khadijah akan dibuka untuk membolehkan pelajar lelaki serta penduduk Kampung Jawa masuk untuk menunaikan Solat Jumaat.

Musolla (Surau)

Musolla Saidina Ali

Lebih dikenali sebagai surau Putera, terletak di dalam asrama Putera, tingkat bawah Blok Ali. Musolla Saidina Ali menjadi tempat utama program-program kerohanian anjuran Badan Dakwah dan Rohani (BADAR). Solat berjemaah turut wajib ditunaikan oleh para pelajar muslimin di Musolla Saidina Ali. Musolla Saidina Ali juga menjadi tempat perkumpulan pelajar-pelajar sekiranya 'roll-call' diadakan. Pada tahun 2013, solat berjemaah untuk pelajar aspura telah dijalankan di bilik prep tingkat bawah Blok Thariq kerana ia dinaik taraf hasil sumbangan seorang Alkis. Pada musim peperiksaan, Musolla Saidina Ali sering dipenuhi pelajar-pelajar leaki pada waktu selepas tamat kelas persediaan (prep).Mereka mengunakan Musolla Saidina Ali untuk menyambung ulang kaji mereka serta memudahkan mereka untuk bangun solat subuh.


Musolla Saidatina Khadijah

Musolla ini dirasmikan pada tahun 1990-an. Program-program kerohanian untuk pelajar muslimat sering dijalankan di musolla ini. Sepertimana Musolla Saidina Ali, Musolla Saidatina Khadijah merupakan tempat yang diwajibkan kepada pelajar muslimat untuk menunaikan solat secara berjemaah. Kawasannya yang luas mampu menampung kesemua warga Putera Puteri Kolej Islam. Di sini disaksikan pelbagai acara rasmi sekolah yang berkaitan dengan aktiviti keagamaan seperti Ihya Ramadhan, sambutan Hari Raya Aidil Adha dan pelabagai lagi. Pada tahun 2010, pihak Kolej tidak membenarkan pelajar yang mengambil SPM untuk pulang, maka di sinilah tempat semua warga Kolej berkumpul menyambut hari raya bersama-sama. Pada tahun 2009 juga, pengetua Kolej Islam sendiri iaitu Ustaz Abdullah Jusoh yang menyampaikan khutbah hari raya Aidil Adha. Musolla ini juga menjadi 'masjid sementara' untuk penduduk kawasan Kampung Jawa setelah Masjid Sultan Sulaiman ditutup pada tahun 2015 hingga kini untuk kerja-kerja penaiktarafan. Musolla ini dibuka kepada penduduk berdekatan untuk solat Jumaat serta solat Tarawih pada bulan Ramadhan.

Dewan Makan

Dewan Makan Putera

Terletak di dalam asrama putera di belakang Blok Khalid. Boleh memuatkan sebanyak 400 orang pelajar dalam satu-satu masa. Meja di dalam dewan makan ini disusun dalam empat barisan panjang mengikut warna rumah sukan. Pelajar-pelajar tahun peperiksaan sering menggunakan Dewan Makan Putera pada waktu Kelas Persediaan (prep) menjelang musim peperiksaan.

Dewan Makan Puteri

Terletak di dalam asrama puteri. Dewan Makan Puteri kadangkala menjadi tempat kelas tambahan jika tiada tempat yang kosong akibat pertembungan kelas-kelas tambahan.

Bilik Makan VIP

Terletak di dalam kantin. Digunakan bagi menyambut delegasi bertaraf VIP sahaja seperti ketua-ketua sektor mahupun pengarah jabatan.

Bilik Makan VVIP

Terletak di sebelah surau kecil guru. Bilik ini digunakan hanya digunakan bagi menyambut ketibaan VVIP seperti Tuanku Sultan Selangor, kerabat diraja, menteri-menteri mahupun tetamu-tetamu kehormat dari luar negara.

White House (Rumah Tetamu)

Dahulunya, ia merupakan rumah tetamu bagi Tuanku Sultan Selangor. Selepas baginda bermurah hati mewakafkan istananya, rumah ini pernah dijadikan rumah tetamu dan rumah warden. Semenjak tahun 90-an, rumah ini tidak lagi dihuni kerana keadaannya yang sudah tidak selamat. Pihak kolej telah mengambil keputusan untuk merobohkannya kerana mahu membina semula White House ini. Namun begitu, setelah hampir separuh daripada White House ini telah dirobohkan, pihak kolej menyedari kesilapan mereka kerana White House ini tidak boleh dirobohkan kerana ia termasuk dalam kawasan Istana Jemaah telah diwartakan sebagai tapak warisan dunia UNESCO pada tahun 2010.